Pages

Friday, January 9, 2015

Peringatan Diri Sendiri

Assalamualaikum,



Kata orang, termasuk dalam adab bersahabat adalah menyimpan kebahagiaan diri demi menjaga hati orang lain.

Kau kaya, hari-hari kau belanjakan lebih RM20. Sedang temanmu hanya mampu berjalan kaki ke kuliah. Kau bijak, mudah faham dan jelas, sedang kawan kau bersengkang mata siang malam, masih belum faham.

Kau lawa, hari-hari meluah kerisauan jerawat atau berat yang bertambah, sedang kawan kau sudah lebih separuh hidupnya bertarung untuk kurus. Kau punya rezeki bertebaran di muka bumi, sedang rakan kau keluar dari negerinya pun belum pernah.

Kau sudah berumah tangga seawal usia orang lain baru menjengah dunia, sedang kawanmu sudah lanjut masih belum bertemu jodohnya. Kau punya anak-anak yang berjaya, kau riuhkan sedunia, sedang temanmu untuk membiaya anaknya belajar tidak mampu.

Kau punya deretan iphone, ipad dan segala macam gadget, sedang temanmu tiada duit pun untuk menambah kredit. 

Teman-teman, kita hidup bersama-sama. Pandang kiri pandang kanan. Bukan kau tak berhak untuk berkongsi bahagia, cuma berpada-padalah. Bukan kau tak boleh bercanda, tapi berhati-hatilah. Kerana mungkin untukmu, sudah entah berapa kali, namun untuk dia itu baru pertama kali. Barangkali untukmu, ia hanya biasa-biasa tetapi untuk dia, ia bagai bermimpi menggapai bulan, hampir mustahil. Untukmu, mungkin ia cuma tanda kau hanya mencuit, tapi untuk dia, ibarat luka yang menusuk, setiap kali dalam dan sakit. Jangan difikir cemburukah dia. Fikirlah apakah kebaikan kau berlebihan menayang dunia itu dan ini.

Berpadalah. Sensitiflah. Lihatlah sekeliling. Andai kau tak mampu menawarkan bahagia, cukuplah jangan ditambah dukanya. Moga sama-sama kita nikmati bahagia.


 
Images by Freepik